Tuesday, 13 November 2018

TAJUK 11: PENGURUSAN PELBAGAI BUDAYA

Pendidikan masa kini bukan hanya untuk melahirkan warganegara yang baik tetapi lebih memfokuskan kepada warganegara global yang mempunyai kemahiran, pengetahuan dan motivasi untuk menangani isu-isu kemanusiaan dan persekitaran. Dalam konteks Malaysia pula khususnya, Pembelajaran Abad Ke 21(PA21) dalam kepelbagaian budaya adalah untuk mewujudkan perpaduan antara pelbagai kaum dan etnik di Malaysia agar dapat menghapuskan prasangka dan streotaip kaum dalam usaha memupuk sikap positif dan timbul rasa hormat terhadap perbezaan etnik, bangsa, budaya. Nilai pelbagai budaya seharusnya difahami sebagai satu set nilai yang berjalan seiring dalam sistem sosial sesebuah masyarakat.
Kepelbagaian budaya merupakan konsep atau idea yang berkaitan kepercayaan, pengakuan dan pengiktirafan terhadap keanekaragaman dan unsur kepelbagaian budaya dan etnik yang wujud yang mempengaruhi gaya hidup, pengalaman sosial dan identiti peribadi sesuatu bangsa. Kepelbagaian budaya merangkumi pemahaman, penghargaan dan penilaian terhadap budaya seseorang dan etnik masyarakat. Penilaian ini bukan bermakna bersetuju dengan budaya berkenaan tetapi melihat bagaimana anggota sesuatu komuniti etnik mengekspresikan nilai-nilai budaya mereka dan penerimaan bangsa lain terhadap kebudayaan tersebut.
Menurut Rabuskha (1972) masyarakat pelbagai kumpulan etnik ciri-ciri perbezaan seperti bahasa, agama dan budaya selalunya menghalang integrasi sosial dan perpaduan sukar dicapai. Maka, para guru perlu mengenal dan memahami kewujudan pelbagai budaya masyarakat Malaysia agar dapat mengaplikasikannya dalam proses pengajaran dan pembelajaran seterusnya melahirkan warganegara yang bersatu padu dan harmoni. Bagaimana seorang guru boleh menanganinya semasa proses pengajaran? Guru sewajarnya hendaklah peka dengan perbezaan agama dan kepercayaan pelajar serta hormat dan menerima seadanya nilai dan kepercayaan itu. Biasanya kepelbagaian persekitaran akan mempengaruhi pemikiran serta kefahaman pelajar terhadap sesuatu perkara. Dalam hal ini, guru perlu merancang aktiviti pembelajaran yang bersesuaian dengan semua kepercayaan, nilai dan agama pelajar-pelajar mereka. Aspek bahasa pengantar turut memberi impak kepada keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Pertembungan dialek yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latarbelakang perlu dikawal oleh guru dengan menekankan penggunaan bahasa standard yang difahami oleh semua pelajar.

Rujukan :


  1. - Tuan Naufal Tuan Khaled. 2017, “Apakah Pendidikan Abad Ke-21”, https://www.sistemguruonline.my/2017/03/pendidikan-abad-ke-21.html
  2. -       Noraini Omar, 2015. Amalan Pengajaran Guru Pendidikan Islam Berfokuskan Kepelbagaian Budaya Murid: Kajian kes di Negeri Sarawak. Tesis Ph.D UKM
  3. -       Don, Y. (2007). Kepimpinan dan pembangunan pelajar sekolah di Malaysia. PTS Professional.

No comments:

Post a Comment