Tuesday, 13 November 2018

TAJUK 6: PENGURUSAN BILIK DARJAH

Bilik darjah merupakan medan perjuangan utama seorang guru menjalankan tugas, peranan dan tanggung jawab. Seseorang guru akan diklasifikasikan sebagai tidak melaksanakan tugas sekiranya amanah ini diabaikan walaupun beliau merupakan seorang juara masyarakat yang paling komited di luar bilik darjah atau di luar sekolah. Seseorang itu tidak akan dikatakan sebagai pemain jika sekadar duduk di luar padang walaupun mempunyai kemahiran sebagai juara. Sehubungan dengan itu, bilik darjah perlu diurus dengan keadaan terbaik dan kondusif agar pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan efektif serta guru boleh dinobatkan sebagai pendidik berketerampilan cemerlang. Secara rasmi, bilik darjah boleh ditakrifkan sebagai sebuah bilik di mana sekumpulan murid diajar oleh seorang guru. Menurut Akta Pendidikan, murid atau pelajar merupakan seseorang yang menerima pendidikan atau latihan. Sebaliknya, guru bermakna seseorang yang mengajar murid-murid di sekolah atau di institusi pendidikan atau menyediakan bahan pelajaran atau menanda skrip jawapan di sesebuah sekolah.
Setinggi mana pun ilmu dan kemahiran yang dimiliki oleh seseorang guru, akan menjadi sia-sia sekiranya tidak mampu untuk mengurus bilik darjah dengan baik. Pengurusan bilik darjah yang berkesan sebenarnya melibatkan pelbagai aspek seperti ciri peribadi seorang guru, rutin dan peraturan bilik darjah, iklim bilik darjah, dan hubungan antara aspek pengurusan dan pengajaran. Bagi menjadikan bilik darjah -lebih kondusif, berkesan dan dapat diurus dengan cekap, guru hendaklah mempunyai sifat-sifat seorang pengurus yang baik seperti tegas, demokratik, pengasih yang prihatin. Sebagai pengurus yang baik, tugas guru bukan hanya tertumpu kepada proses pengajaran semata-mata tanpa mengambil kira iklim dan persekitaran serta masalah-masalah semasa pelajar tetapi juga berusaha untuk mewujudkan iklim bilik darjah yang kondusif, sihat, dan positif untuk menggalakkan pembelajaran. Seseorang guru perlu mempelajari atau mengenali tentang murid yang ada di dalam bilik darjahnya. Ia bukan sekadar mengetahui nama muridnya sahaja tetapi lebih dari itu ia perlu mengetahui latar belakang muridnya, tahu siapa ibubapa mereka serta mengenali mereka. Dengan memiliki maklumat ini, akan memudahkan bagi guru untuk merancang dan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran.
Guru juga merancang persekitaran bilik darjah dan rutin harian bagi tempoh satu-satu sesi pengajaran dan pembelajaran. Persekitaran fizikal bilik darjah mestilah menarik dan kondusif. Usah dipandang remeh soal lampu atau kipas yang tidak berfungsi, kerana ia sedikit sebanyak akan mengganggu tumpuan murid untuk menerima pelajaran. Begitu juga dengan hiasan bilik darjah dan soal kebersihan perlu diberi perhatian. Dan lebih penting ialah susunan atau susun atur bilik darjah mestilah sesuai kerana ia akan mempengaruhi keberkesanan pengajaran guru. Kecekapan guru dalam mengurus penggunaan rutin di dalam bilik darjah akan menjamin kelancaran aktiviti-aktiviti seperti menanda jadual kedatangan, menyemak keadaan fizikal bilik darjah, mengeluar dan menyimpan bahan bantu mengajar, mengutip dan memulangkan buku latihan, mengutip yuran, menyediakan berbagai rekod, menguruskan Skim Pinjaman Buku Teks, Rancangan Makan Tambahan dan sebagainya.

Rujukan :
-       Dali, M. H., & Salleh, M. J. (2009). Pengurusan bilik darjah (pp. 161-188). McGraw Hill.
-       Hamzah, H., & Samuel, J. N. (2014). Pengurusan bilik darjah dan tingkah laku. Oxford Fajar.
-       Taat, M. S., Abdullah, M. Y., Mohamad, B., Talip, R., Ambotang, A. S., & Zain, S. (2012). Pengurusan bilik darjah berkesan. Utusan Borneo, B4.


No comments:

Post a Comment